Ramai Tak Puas Hati Kadar Kompaun Khairuddin, Ini Penjelasan Dr Hisham
KOMPAUN RM1,000 yang dikenakan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, adalah berasingan daripada siasatan dijalankan polis, lapor BH Online.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan kadar kompaun RM1,000 dikenakan KKM, terhadap menteri terbabit juga adalah had maksimum ditetapkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).
“Kompaun maksimum mengikut Akta 342 adalah RM1,000 terhadap mereka yang ingkar peraturan serta perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah hanya RM1,000,” katanya.
Beliau memberi penjelasan itu menerusi akaun Twitter sebagai reaksi kepada warganet yang mempertikaikan kadar kompaun yang dikenakan oleh KKM itu yang disifatkan terlalu rendah berbanding kesalahan dilakukan.
Dr Noor Hisham berkata, dalam isu membabitkan menteri berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan susulan laporan diterima pihak berkuasa itu.
Berikut reaksi dari netizan
“Setiap orang balik dari luar negara akan di kena kuarantin 14 hari dan akan dipakai gelang pink tapi yang pelik menteri tidak di pakaikan gelang pink atau dia tidak kuarantin lari daripada sop itu yang kena siasatan dengan keluarga nya sekali.. ini bukan kes politik ya adalah tentang virus yang bahaya kena ikut sop kkm baru betul kalau salah bawa pergi mahkamah”
“Sepatutnya kena masuk mahkamah terus bukan kena kompaun. Kan ismail sabri Dah cakap pada 18 ogos lepas. Melanggar arahan kuarantin akan didakwa di mahkamah.Kompaun plak boleh backdated. Walhal sebelum ni noor hisham cakap masih dalam siasatan. Kenapa menteri ni tidak dipakaikan gelang pink lepas balik dr turkey?”
Khairuddin negati1f Cov1id-19
KEPUTUSAN ujian Covid-19 yang diambil ke atas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang pulang dari Turki pada 7 Julai lalu dilaporkan negatif.
Menurut sumber, ujian itu diambil beliau sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mengambil masa lima jam sebelum didapati negatif.
“Beliau ke sana pada 3 Julai lalu selepas mendapat keizinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malah Turki ketika itu adalah sebuah negara dikategorikan sebagai zon hijau.
“Isu ini akan dijawab oleh pihak menteri sendiri dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Terdahulu ketika membahas Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020) menjadi sedikit kecoh apabila Teresa Kok (PH-Seputeh) yang mencelah perbahasan Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) mendakwa ada seorang menteri ke luar negara dan tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang.
Menurutnya, menteri berkenaan mengadakan lawatan tidak rasmi ke Turki pada 3 hingga 7 Julai tetapi menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu.